• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Abdul Bari Terima Anugerah Wira Darul Iman 22 Februari ini - MB Terengganu

Dr Ahmad Samsuri ketika di sidang media di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Kerajaan Terengganu akan menganugerahkan gelaran Wira Darul Iman kepada almarhum Abdul Bari Asyraf dan empat penyelamat yang lain bagi mengenang jasa menyelamatkan mangsa pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai baru-baru ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sijil anugerah dan insentif kewangan kepada mereka yang terbabit akan disampaikan dalam satu majlis khusus di Stadium Negeri pada 22 Februari ini.

"Majlis mesyuarat kerajaan negeri sudah berbincang tadi (hari ini) untuk memberi anugerah Wira Darul Iman kepada lima orang wira penyelamat mangsa kejadian pacuan empat roda yang terjunam ke sungai itu.

"Anugerah itu bukan sahaja kepada Abdul Bari Asyraf tetapi kepada empat orang lain lagi yang turut sama membantu turun ke dalam air untuk menyelamatkan mangsa.

"Semuanya akan digelar sebagai Wira Darul Iman, cuma untuk arwah itu (Abdul Bari Asyraf) akan diberi insentif kewangan lebih dari yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kit Pengurusan Jenazah kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Terengganu di Tingkat U2, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir di sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Haji Mohd Zahari Md Azahar.

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, apa yang kerajaan negeri laksanakan itu akan menjadi satu contoh dorongan untuk orang ramai, membantu masyarakat yang memerlukan ketika kecemasan dan sebagainya.

Katanya, majlis mesyuarat kerajaan negeri juga hari ini membincangkan mengenai cara untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, antara isu yang timbul adalah ketiadaan tandas awam di kawasan berkenaan menyebabkan berlaku insiden yang tidak diingini itu.

"Kita juga telah bersetuju dan telah mengarahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahagian infrastruktur, Dr Alias Razak untuk mengambil beberapa langkah antaranya untuk menyediakan tandas awam.

"Kita mendengar keluhan daripada pengunjung bahawa kawasan berkenaan tidak ada tandas awam dan orang ramai terpaksa menumpang kedai-kedai berhampiran yang dikatakan ianya tidak selesa digunakan," jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan tandas tersebut selain daripada memasang papan tanda amaran dilarang mandi manda di samping memasang penghadang di kawasan terbabit supaya tidak ada kenderaan yang boleh terlajak sehingga masuk sungai.

Terdahulu dari itu empat sekeluarga terselamat dari lemas berhampiran Pulau Warisan di muara sungai Terengganu di sini apabila lima orang pemancing terjun menyelamat mereka dari tenggelam dalam air sungai bersama pacuan empat roda yang dinaiki mereka di kawasan pulau berkenaan baru-baru ini.

Tag: