• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Abdul Hadi Serah Kertas Cadangan Pemulihan Ekonomi Kepada Menteri Kewangan

MARANG, 6 September - Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kertas cadangan langkah-langkah yang boleh diambil kerajaan bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19 khususnya melalui peluang kerjasama dengan negara-negara Islam di rantau Timur Tengah.

Kertas cadangan yang mengandungi syor dan saranan tersebut diserahkan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perkara itu dikongsikan Abdul Hadi yang juga Presiden PAS dalam catatan terbaharu di Facebooknya ketika menerima kunjungan Tengku Zafrul di Kampung Rusila di sini, petang semalam.

“Saya berbesar hati atas kesudian Yang Berhormat Menteri Kewangan untuk berkunjung ke Kampung Rusila, Marang, dalam kepadatan jadual lawatan beliau ke Terengganu.

“Kami turut berbincang mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat dan pembangunan di kawasan luar bandar yang sinonim dengan aktiviti pertanian, perikanan, pelancongan dan industri desa,” katanya dalam laman Facebook di sini.

Dalam pertemuan itu, Abdul Hadi turut membawa Tengku Zafrul meninjau ruang solat di Masjid Rusila di samping berkongsi sejarah masjid yang diasaskan oleh moyangnya sejak lebih 100 tahun lalu dan penubuhan Maahad Darul Quran, yang dibina dengan dana waqaf dan sumbangan penduduk kampung.


Tag: