• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Abdul Karim Dilantik CEO SATU Bermula 1 September Ini

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos -Ketua Perkhidmatan Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor),  Abdul Karim Endut, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) baharu berkuat kuasa 1 September ini.

SATU dalam kenyataan berkata, pelantikan Abdul Karim, 51, bagi menggantikan Ir Hj Atemin Sulong yang tamat tempoh perkhidmatan pada 24 Julai 2021.

Abdul Karim yang berkelulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bahan (Chemistry-Polymer) dari Universiti Henri Poincare, Perancis itu mempunyai pengalaman lebih 26 tahun dalam Pengurusan Operasi Perkhidmatan Air, Teknikal dan Penyelenggaran Air, Pengagihan dan Pengurusan Loji Rawatan Air.

Beliau juga telah berkhidmat di beberapa syarikat korporat termasuk Konsortium Air Selangor di bawah KDEB Group, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), dan ONDEO Services(M), SUEZ Group.

“Terdahulu, sebagai Ketua Perkhidmatan Operasi di Air Selangor beliau mengawal selia perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan aset,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin pelantikan Abdul Karim adalah yang terbaik bagi menerajui SATU.

“Saya yakin beliau berupaya menerajui SATU ke arah perubahan pengoperasian dan amalan yang lebih baik serta berkesan lalu mampu menjadikannya sebagai sebuah syarikat korporat terbaik di negeri Terengganu," ujarnya.