• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Abdul Manat Tidak Kisah Digelar Orang Gila

Abdul Manat bersama sebahagian koleksi peribadi yang unik daripada barangan terbuang dihadapan rumahnya di Kampung Paloh Nyior di Hulu Telemong
Melangkah ke halaman sebuah rumah Kampung Paloh Nyior, Hulu Telemong, pasti ramai yang menyangkakan bahawa pemilik kediaman itu adalah orang kurang waras atau gila.

Bukan disebabkan rumahnya, tetapi kerana terdapat puluhan barangan rosak dan terbuang termasuk kasut buruk pelbagai jenis yang tergantung kemas di setiap penjuru halaman kediaman ini.

Melihatnya sekali imbas, sesiapa sahaja akan terasa seolah-olah berada di tempat buangan sampah kerana dipenuhi dengan barangan yang sudah tidak dapat digunakan lagi.

Namun biasalah setiap orang mempunyai ragam dan pendiriannya tersendiri dalam mendefinasikan apa yang dirasakan berlainan dan ada di antaranya mengumpul barangan yang dirasakan unik mengikut pandangan mata mereka.

Ada di antara kita cuba mempunyai hobi yang boleh dikongsi bersama tetapi ada juga yang mahukan kelainan supaya berbeza dengan orang lain.
Abdul Manat menunjukkan papan tanda yang bertulis Orang Gila Sdn Bhd di luar kawasan rumahnya.
Abdul Manat Ibrahim,57, seorang bekas tentera cuba mencari kelainan daripada yang sedia ada sebagai mengisi kekosongan dalam hidup dengan mengumpul barangan yang dianggap terbuang dan sudah tidak bernilai lagi.

Dianggap sebagai orang gila atau kurang siuman tidak melunturkan semangat beliau untuk meneruskan hobinya yang mempunyai nilainya tersendiri malah mempunyai jenamanya tersendiri iaitu Orang Gila Sdn. Bhd.

"Ada yang melihat apa yang dilakukan oleh saya ini sebagai tidak boleh diterima akal malah digelar kurang siuman oleh sesetengah pihak termasuk penduduk kampung.

"Namun akhirnya mereka tersedar dengan apa yang digelar mengarut di mata mereka itu, sebenarnya mempunyai kelainan dan nilainya yang tersendiri, dan kelainan itulah yang menjadikan saya, Orang Gila Sdn. Bhd lebih unik dan bernilai," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Tambah Abdul Manat, pemilihan nama Orang Gila Sdn. Bhd timbul apabila dia dikatakan mencerobohi tanah persendirian dan perkara itu telah di bawa ke Pejabat Tanah.

Ekoran dari itu, dia memutuskan untuk menggunakan nama Orang Gila Sdn. Bhd sebagai sindiran kepada individu tersebut supaya tidak mudah menuduh seseorang dan ditambah pula dengan hobinya yang pelik itu.


Datuk kepada lapan cucu ini juga berkata, segalanya bermula sejak 18 tahun lalu sebagai satu cara mengisi masa lapang sejak bersara dari tentera dan lebih suka memilih hobi yang dari kebiasaan walaupun orang ramai menganggapnya tidak waras lagi.

"Saya bukan buat salah pun, tidak kacau orang tetapi saya memang gemarkan sesuatu yang pelik demi kepuasan diri sendiri.

"Kini mereka yang dahulunya menganggap saya orang gila banyak membantu dengan menyumbangkan barangan terpakai yang hendak dibuang kepada saya untuk dipamerkan di sini," ujarnya lagi.

Kini Orang Gila Sdn. Bhd mempunyai koleksi kira-kira 20 unit kipas siling, 12 televisyen, puluhan unit jam dinding serta beberapa unit komputer termasuk info jarak perjalanan yang menarik perhatian pengguna jalan raya untuk berhenti bergambar.

Sementara itu, isteri Abdul Manat, Senah Ismail, 56, pernah menghalang hobi pelik suaminya kerana tidak tahan dengan tohmahan yang diterimanya.

"Tetapi kini saya dan anak-anak dapat menerima hobi suami saya saya dengan baik dan memahaminya kenapa memilih hobi yang lain daripada biasa dan unik...sejak itu saya tidak pernah menghalangnya untuk terus berkreativiti demi kepuasannya,"katanya.

Bagi anak bongsu dari enam adik beradik, Zulshawal Manat, 20, dia tetap memberi sokongan selagi hobi tersebut tidak memudaratkan ayahnya dan keluarga.

"Nak katakan sokong sepenuhnya pun tidak, nak larang pun tak boleh jadi ayah nak buat apa pun buatlah selagi tak bahayakan dirinya.

"Mula-mula dahulu sewaktu ayah mulakan hobinya yang pelik ini, dengan gelaran yang diberi, memang saya rasa malu tetapi lama kelamaan saya dapat menerimanya kerana tahu itu adalah keistimewaan ayah yang unik dan tidak terdapat kepada orang lain,"kata Zulshawal.

Tag: