• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Acara Dekorasi Kek, Serlah Bakat Beliawanis


 
Acara dekorasi kek serlah bakat beliawanis Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Acara dekorasi kek yang dipertandingkan dalam Himpunan Belia dan Beliawanis Negeri Terengganu (HEBAT) 2019 berjaya menonjolkan bakat beliawanis.

Juri bagi acara dekorasi kek, Nooraini Salleh berkata, pihaknya sukar untuk mencari pemenang kerana gubahan kesemua peserta mempunyai kelebihan tersendiri.

Jelasnya, dekorasi yang ditampilkan dengan pelbagai bentuk gubahan dan corak itu ternyata memukau para pengunjung dan juga pihaknya.

Sangat sukar untuk kami (juri) untuk mencari pemenang dalam kalangan mereka semua.

Gubahan yang dibuat sangat menarik, sesuatu yang sangat payah untuk dibuat atau ditiru, penonton pun teruja melihat gubahan mereka,” jelasnya.
 
Pemenang tempat pertama pertandingan dekorasi kek.
Beliau berkata demikian semasa ditemubal oleh wartawan selepas mengadili pertandingan dekorasi kek di dewan utama, stadium negeri, di sini, hari ini.

Acara tersebut menyaksikan Suraya Ali dan Siti Iqlima Yusoof dinobatkan sebagai juara, manakala di tempat kedua Nur Aini Mohd Zali dan Siti Mariam serta Nor Shahira Ahmad dan Nur Masyitah Pauji berada di tempat ketiga.

Acara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat (Khairunnisa')Terengganu, Zarani Othman.

Acara yang bermula sekitar pukul 3.00 petang itu mengumpulkan hampir 30 beliawanis dari seluruh Terengganu.
 
Pemenang pertandingan fesyen ibu dan anak.
Turut berlangsung serentak dengan acara itu ialah acara fesyen ibu dan anak yang dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu tema kerjaya dan budaya.

HEBAT yang mengumpulkan belia dan beliawanis dari seluruh daerah itu berlangsung selama dua hari.

Himpunan yang menyasarkan untuk menghimpunkan 10,000 belia itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Samsuri Mokhtar semalam.

Tag: