• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

ACP Tuan Suffian Ungguli Kategori VIP Kejohanan Kuda Lasak PDRM

SETIU, 29 Januari- ACP Tuan Suffian Sulaiman, penunggang pasukan Kelab Sukan Berkuda Polis Terengganu, mengungguli pencabar lain untuk menjuarai kategori 15 KM (VIP) Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2023 apabila mencatat masa 58 minit 14 saat di kejohanan itu yang berakhir, hari ini.

Manakala Dato’ Yusof Mamat yang juga dari pasukan sama menduduki tempat kedua dengan catatan masa 1 jam 13 minit 57 saat, diikuti ACP Mohd Zaid Hassan dari kelab Unit Berkuda PDRM di tangga ketiga dengan catatan masa 1 jam 13 minit 59 saat.

Dengan kemenangan itu, ACP Tuan Suffian meraih hadiah wang tunai RM500, tempat kedua (RM400) dan ketiga (RM300).

Bagi kategori Conquer Endurance International (CEI)1* 100KM/100KM, juara dimenangi Muhammad Fuad Hashim dari pasukan State Of Terengganu Endurance Team (STET) dengan catatan masa 5 jam 15 minit 31 saat.

Tempat kedua dengan catatan masa 5 jam 27 minit 9 saat dimenangi Muhammad Aminuddin Ali dari pasukan Royal Kelantan Endurance (RKE) dan tempat ketiga juga dari pasukan yang sama, Mohamad Hafiz Mustafa dengan catatan masa 5 jam 39 minit  47 saat.

Bagi kategori tersebut, juara membawa pulang RM3,000, tempat kedua (RM2,500) dan ketiga (RM1,500).

Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Majlis Penutup Kejohanan Kuda lasak Antarabangsa Piala PDRM 2023 di Terengganu International Endurance Park, disini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar serta Ketua Polis Terengganu, Dato' Rohaimi Md Isa.

Penganjuran kuda lasak kali kelima oleh PDRM dan julung kali diadakan di Terengganu International Endurance Park, disini turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Royal Terengganu Endurance Stable dan rakan sukan PDRM Kumpulan Shapadu.

Ia bertujuan merakyatkan sukan ekuestrian di kalangan warga PDRM dan masyarakat sekali gus menyemai semangat kesukanan khususnya dalam sukan berkuda.

Sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan iaitu 40KM Conquer Endurance National (CEN), 80KM CEN dan 100KM CEN/ Conquer Endurance International (CEI). 

Manakala acara sampingan turut diadakan bagi menambah kemeriahan iaitu 15KM VIP Ride pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu.