• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Aduan Rakyat Jadi Platform Selesai Masalah

SETIU, 15 Februari – Program Kaunter Aduan Rakyat di Parlimen Setiu terus diadakan bagi memastikan permasalahan rakyat dapat diteliti dan diselesaikan dengan baik.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program itu tetap dilaksanakan bagi penggal kedua beliau sebagai Ahli Parlimen di Kawasan tersebut.

“Alhamdullilah, saya melihat program Kaunter Aduan Rakyat sejak dilaksanakan bermula 2018 sangat mendapat sambutan. Usaha ini juga dapat memberi input yang lebih terperinci tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

“Insya-Allah semua aduan daripada orang kampung akan diambil perhatian. Kita telah menerima pelbagai aduan hasil daripada program ini.

"Semua permasalahan akan diambil perjalanan segera untuk diselesaikan agar kebajikan serta kesejahteraan rakyat terjamin, insya-Allah kita akan terus mengadakan program ini dengan melibatkan seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Setiu ini secara dwi-bulanan atau secara bulanan," katanya.

Tambahnya, bermula minggu lepas telah berlangsungnya Program Kaunter Aduan Rakyat di tapak Pasar Tani Kampung Buluh dan pada hari Isnin yang lalu telah dilaksanakan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang dibuat di Dewan Kampung Gong Lingai. 

"Pada sebelah petang pula, aktiviti ziarah Mahabbah di sekitar kampung yang terlibat. Menyantuni dan menziarahi penduduk yang ditimpa musibah, keuzuran dan sebagainya," katanya.


Tag: