• 17 Jun 2021 | 7 Zulkaedah 1442

KUALA TERENGGANU, 5 Jun – Sebanyak 2000 kilogram ikan segar diagihkan kepada mereka yang terjejas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam.

Agihan tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 3.0) yang diumumkan oleh kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini bagi meringankan bebanan mereka yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dijalankan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas pendapatan secara berperingkat.

“Peringkat awal ini kita adakan agihan ikan sebanyak 2000 kilogram dan selepas ini kita akan agihkan bantuan makanan asas kira-kira 900 pek.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Datuk Ahmad Amzad Hashim yang turut memberikan sumbangan untuk diagihkan kepada warga DUN Batu Buruk,” katanya lagi.

Menurutnya, separuh daripada jumlah agihan ikan tersebut ialah sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, manakala separuh lagi merupakan peruntukan daripada DUN Batu Buruk.