ADUN Batu Buruk Korban 10 Ekor Haiwan Sempena Aidiladha

KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Sebanyak 10 ekor haiwan telah dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha 1446H di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, melibatkan dua ekor kerbau besar yang menghasilkan sebanyak 720 kilogram daging, serta lapan ekor lembu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program ibadah korban itu dilaksanakan secara gotong-royong oleh penduduk setempat di peringkat Pusat Khidmat DUN Batu Buruk pada hari kedua Aidiladha.

"Program ini melibatkan kerjasama petugas-petugas daripada cawangan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang menghantar wakil masing-masing untuk membantu proses penyediaan dan pengagihan daging korban.

"Keseluruhannya, dianggarkan sebanyak 2,000 kilogram daging akan diagihkan kepada fakir miskin dalam kawasan DUN Batu Buruk, insya-Allah," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari kedua Aidiladha bertempat di  Markas Tarbiyah PAS Kuala Ibai, kelmarin.

Dr. Khalil mendoakan agar amalan korban yang diadakan itu mendekatkan diri peserta kepada Allah.

"Di samping, dalam mengikut sunnah Nabi Ibrahim dan sunnah Nabi kita Muhammad SAW.

Selain itu beliau berkata, ibadah korban itu turut menjadi lambang solidariti terhadap saudara-saudara seagama yang sedang menghadapi ujian, khususnya di Gaza dan bumi Palestin.

“Kita juga mengambil semangat ini untuk terus bersaudara dengan saudara-saudara kita yang tidak senasib dengan kita, khususnya saudara-saudara kita di Gaza dan Bumi Palestin secara keseluruhannya," ujarnya.


Tag: