• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama isterinya, Dr Farhaana Husainy Hasbullah hadir menziarahi kanak-kanak berusia 4 tahun, Ahmad Izz Danish Abdul Muhaimin yang menderita kanser saraf tahap empat dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), baru-baru ini.

Pertemuan dengan kanak-kanak berkenaan dan ibunya Noraisah Abdul Aziz, 36, sekadar bertanya khabar di samping menghulurkan sumbangan dari pihaknya.

“Alhamdulillah, saya dimaklumkan permohonan bantuan daripada Tabung Darul Iman bagi adik Ahmad Izz telah diluluskan.

“Kita harap semoga bantuan ini dapat menampung kos rawatannya serta kos perbelanjaan harian Puan Noraisah dan keluarga," katanya.

Menurut ibunya, penyakit kanser tersebut disedarinya setelah di'diagnose' oleh doktor pada November 2020 yang lalu.

"Ahmad Izz Danish kini sedang mendapatkan rawatan kimoterapi di HSNZ setelah menjalani pembedahan membuang ibu kanser yang berada di belakang perutnya," jelas Noraisah yang turut memaklumkan, anaknya itu akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan pemindahan sumsum tulang, pada Mei nanti.

Noraisah merupakan ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai, kini tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anaknya sepenuh masa di hospital.