KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu perlu memainkan peranan sebagai jambatan yang menghubungkan generasi Z (Gen Z) dengan dasar dan hala tuju kerajaan negeri.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, ADUN Belia perlu menjadi pemimpin yang benar-benar memahami generasi itu, termasuk memanfaatkan teknologi serta menggunakan pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan kehidupan mereka.
Menurutnya, pendekatan sedemikian penting bagi membimbing Gen Z supaya berkembang sebagai generasi rabbani yang mampu memimpin Terengganu pada masa hadapan.
“Gen Z merupakan generasi yang lahir dalam era digital. Mereka pantas mengakses maklumat, berfikiran kritis, kreatif dan berani menyuarakan pandangan.
“Namun, mereka juga berdepan pelbagai cabaran seperti lambakan maklumat, krisis identiti, tekanan media sosial serta serangan pemikiran yang boleh menghakis nilai agama dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Ketiga T-Apprentice Siri 3 2024/2026 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mohd Nor berkata, pendekatan terhadap Gen Z tidak boleh sekadar berbentuk arahan, sebaliknya perlu mengambil kira keinginan mereka untuk difahami, disantuni dan diberikan ruang berdialog.
“Mereka perlu didakwah dengan hikmah, nasihat yang baik dan dialog yang terbaik.
“Ini merupakan prinsip dan menjadi asas untuk mendekati golongan ini kerana mereka bukan sekadar mahu mendengar arahan, tetapi ingin difahami, disantuni dan diberi ruang untuk berdialog,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan yang berhikmah, relevan serta dekat dengan realiti kehidupan Gen Z akan lebih berkesan dalam membentuk generasi yang beriman dan berakhlak.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan sebahagian besar ADUN Belia sendiri datang daripada kelompok Gen Z dan justeru mempunyai kelebihan untuk memahami jiwa, cabaran serta keperluan generasi tersebut.
“Amanah yang dipikul bukan sekadar mewakili belia dalam persidangan, tetapi menjadi pemimpin yang membimbing, menyantuni dan mengangkat potensi Gen Z dengan penuh dedikasi, hikmah dan kasih sayang,” katanya.