• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

ADUN Kemasik Mahu Bina Pusat Dialisis

Ir Saiful (dua dari kiri) meninjau keadaan pesakit yang sedang menerima rawatan berkala. Foto - Ahmad Syahid Adnan
Oleh: Khalid Abdullah

KUALA NERUS, 19 Ogos - Dek prihatin terhadap nasib pesakit buah pinggang untuk mendapatkan rawatan hemodialisis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili komited membina sebuah  pusat dialisis di Kemasik.

“Kita melihat ada keperluan untuk mewujudkan sendiri pusat dialisis memandangkan pusat rawatan sedia ada di bandar Chukai atau Dungun agak jauh untuk pesakit berulang-alik tiga kali seminggu.

“Rawatan dialisis pula bukannya murah, kos satu rawatan biasanya RM200 ke atas, jadi bayangkan berapa banyak yang perlu dihabiskan pesakit dalam sebulan,” ujar beliau.


Ir Saiful Azmi juga berkata, dengan siapnya pusat rawatan itu nanti akan dapat menjimatkan perbelanjaan rawatan pesakit dan mereka dapat menerima rawatan lebih baik dengan kebajikan lebih terjaga.

“Kos membina sebuah pusat hemodialisis sangat mahal, namun kita mengintai peluang untuk bekerjasama dengan orang persendirian atau individu, badan korporat dan juga pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) itu sendiri bagi merealisasikan hasrat ini.

“Jadi, kita harap pusat itu nanti bakal memberi lebih kemudahan kepada pesakit di kawasan Kemasik, juga masyarakat sekitar bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Pusat Kesihatan Rehabilitasi Dan Hemodialisis Seberang Takir, semalam.


Tambah beliau, pihak PETRONAS yang hadir turut menyumbang dalam menyediakan peralatan dan kelengkapan pusat dialisis yang dilawati.

“Semoga pihak PETRONAS akan bersama kita dalam merealisasikan penubuhan pusat hemeodialisis seperti ini di Kemasik,” ujar beliau.

Tag: