• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

ADUN Kemasik Nafi Terlibat Kes Rasuah

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang dikaitkan dengan rasuah bernilai RM500,000 bagi satu projek pasir di Terengganu menafikan dakwaan tersebut hari ini.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan meneliti butiran tertentu termasuk berbincang dengan peguam sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

"Saya tidak pasti bagaimana isu berkenaan boleh dikaitkan dengan saya dan saya juga hanya mengetahui isu berkenaan daripada Facebook.

"Saya akan tengok dulu sebelum ambil tindakan sewajarnya selepas perbincangan bersama pihak peguam.

"Saya tidak tahu apa tujuan mereka tetapi dalam politik, ada yang tidak puas hati, apa-apa pun tindakan akan diambil," katanya ketika dihubungi media selepas Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial beberapa tangkap layar yang didakwa perbualan antara Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI), Nurul Islam Mohamed Yusoff dengan seorang individu yang dipercayai seorang kontraktor.

Perbualan di aplikasi Whatsapp itu turut dimuat naik dalam akaun Facebook beberapa penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan.

Hasil tinjauan di status itu Facebook juga mendapati rata-rata pengguna media sosial mempersoal mengapa individu yang mendakwa mempunyai bukti rasuah tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 


Tag: