• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

ADUN Lawat Mangsa Kebakaran Di Kampung Atas Tol


Oleh : Syaharulhafizi Shamsudin
KUALA TERENGGANU - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggan selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Atas Tol, di sini, 7 Oktober.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, menyebabkan kediaman milik Rahmah@Lijah Abdul Rahman, 78, bersama lima ahli keluarganya musnah, dengan anggaran kerugian hampir RM400,000.


Menurut seorang penghuni rumah itu, Rozana Akma Alias, segala barangan keperluan rumah dan peribadi seperti barangan eletrik, wang dan barang kemas tidak dapat diselamatkan berikutan kejadian yang berlaku begitu pantas ketika keluarga mangsa tiada di rumah.

Ketika kejadian, dia menghantar anak menyertai aktiviti larian di sekolah.







Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah sempat menziarahi keluarga mangsa selepas tragedi itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, kejadian itu menyebabkan kira-kira 90 peratus rumah berstruktur kayu itu hangus terbakar.



“Saya turut bersimpati dengan apa yang telah menimpa kepada mangsa serta keluarga semoga mereka tabah menempuhi dugaan ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah dengan ketangkasan pasukan penyelamat terutama bomba yang berjaya memadamkan kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

Mohd Nor berharap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dapat mengambil langkah yang segera bagi membantu mangsa dengan memaklumkan kepada agensi terlibat bagi meringankan beban mangsa.



Tag: