• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

ADUN Sura Teliti Jalan Rosak, Sistem Perparitan Kampung

DUNGUN, 18 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, membuat tinjauan menyeluruh terhadap keadaan jalan yang rosak dan sistem perparitan yang terjejas di kawasan Dun Sura.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata beliau mendapat beberapa aduan penduduk berkenaan jalan yang berlubang serta sistem perparitan yang kurang efektif menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk di sini.

"Saya mengambil serius tentang jalan yang berlubang kesan daripada hujan yang berterus menyebabkan terjadinya lopak air di jalan yang berlubang.

"Kawasan rendah menghadapi risiko banjir disebabkan kapasiti longkang yang tidak mencukupi untuk menyalurkan air yang terus meningkat," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika membuat tinjauan di beberapa lokasi terjejas banjir semalam.

Sehubungan dengan itu, katanya, situasi tersebut menjadi lebih sukar apabila adanya projek perumahan baru menimbun tanah menyebabkan aliran air tertumpu ke kawasan perumahan rendah.

"Kita akan mencari penyelesaian segera dan kita akui cabaran dalam pembuatan longkang pada waktu ini serta kami sedang giat mengumpul maklumat dari setiap kampung, untuk menambahbaik sistem perparitan di seluruh kawasan Dun Sura ini," katanya.


Tag: