Agih 2,000 Jalur Gemilang, Semarak Cinta Tanah Air

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos- Rasa cinta kepada negara perlu sentiasa disemarakkan dalam usaha generasi hari ini mengekalkan dan mengisi kemerdekaan yang dituai dari generasi terdahulu.

Atas kesedaran itu, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (KOPERAT) dan  GPQ Sdn. Bhd., anak syarikat kerajaan negeri bergabung mengadakan agihan sebanyak 2,000 bendera Malaysia, Jalur Gemilang kepada masyarakat setempat di Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan GPQ, Mohd Rizaini Ghazali berkata, program kolaborasi berkenaan bertujuan menyemarakkan bulan kemerdekaan dan menyemai semangat kecintaan kepada negara.

Ahli lembaga pengarah KOPERAT itu menyifatkan bahawa perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan dan perjuangan untuk mengekalkan kemerdekaan itu berbeza yang mana bagi generasi muda, tekanan lebih tinggi dirasai dalam usaha mengisi dan mengekalkan kemerdekaan

"Kalau kita lihat, kita ini generasi yang baru jadi, mungkin dari segi kefahaman tentang perjuangan para pejuang dan pemimpin terdahulu itu tidak terasa, tetapi dengan ada program sebegini kita boleh zahirkan kembali rasa cinta serta mengenang kembali jasa, pengorbangan pemimpin dan pejuang dahulu yang berkorban nyawa, masa, tenaga dan harta untuk mendapatkan kemerdekaan kita hari ini.

"Jadi, apabila kita dapat lahirkan rasa cinta, kita akan dapat menghargai keamanan yang dikecapi hari ini dalam keharmonian negara berbilang bangsa," katanya ketika ditemui selepas Program Agihan Bendera Sempena Hari Kemerdekaan ke-66 di Dataran Batu Buruk, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar KOPERAT, Syed Abdul Rahman Engku Sulong yang turut turun padang mengagihkan bendera kepada kenderaan-kenderaan yang melalui daratan tersebut.

Sayed Abdul Rahman menganggap, program seumpama itu boleh memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu tentang kebanggaan menjadi rakyat Malaysia dan peri pentingnya kemerdekaan.

"Sebagai anak syarikat negeri, ini adalah antara tanggungjawab sosial kita kerana kita mewakili kerajaan negeri dalam membawa aspirasi melalui polisi dan sebagainya.

"Ini adalah antara usaha kita yang bukan sahaja melalui program ini, tetapi juga program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lain yang mana ia memberikan satu gambaran dan impak positif kepada kerajaan negeri itu sendiri," katanya.

 


Tag: