• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Agihan Kerusi PN Selesai 97 peratus

KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan agihan kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) di enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah selesai 97 peratus setakat ini.

Katanya, beberapa kerusi yang masih berbaki akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

“Selepas perbincangan akhir pada 5 Jun lalu, kita telah selesai (agihan) 97 peratus kerusi daripada 245 kerusi. Ada lima atau enam kerusi yang tidak selesai lagi. Pilihanraya pun belum lagi, ada masa lagi untuk kita selesai.

"Bakinya (agihan) akan siap sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG Affairs 2023) di Hotel Paya Bunga, hari ini.

Sementara itu, proses agihan kerusi di Terengganu pula katanya sudah mencapai 99 peratus.

"Di Terengganu, agihan kerusi telah 99 peratus selesai. Satu kerusi je belum yang pastinya bukan kerusi DUN Rhu Rendang," katanya.