• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Agihan Sumbangan Prihatin Mangsa Banjir DUN Air Putih

KEMAMAN, 15 Mac - Baru-baru ini telah berlangsungnya program serahan sumbangan prihatin banjir kepada mangsa yang terjejas berikutan bencana banjir yang melanda pada hujung tahun 2020 dan awal tahun 2021 yang lalu.

Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan Serbaguna Kampung Air Putih ini menyaksikan seramai 918 orang mangsa banjir dari 10 buah kampung di sekitar Zon B Dun Air Putih menerima sumbangan berupa bantuan kewangan.

Antara kawasan yang terjejas teruk berikutan banjir ini adalah Kampung Teladas, Kampung Air Putih, Kampung Pasir Gajah, Kampung Felda Seberang Tayor, Kampung Seberang Tayor Hulu dan Kampung Seberang Tayor Hilir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim menyampaikan sumbangan dan melahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir di kawasan berkenaan.

“Saya mewakili mangsa banjir di DUN Air Putih ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar yang sudi memberikan bantuan kewangan kepada mangsa banjir khususnya di DUN Air Putih ini,” ucap beliau ketika merasmikan program agihan sumbangan ini. 

Tambah beliau lagi, terdapat 2 kategori penerima bagi agihan sumbangan kali ini.

Kategori yang pertama adalah mereka yang kediamannya tenggelam dilanda banjir lumpur secara mengejut dan telah mengakibatkan kerosakan harta benda yang teruk seperti peti sejuk, periuk, bantal dan lain-lain.

Kategori yang kedua pula adalah penerima sumbangan kewangan sebanyak RM500.

"Ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pejabat Daerah Kemaman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Air Putih, Jabatan Amal kawasan kemaman dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu menjayakan program agihan sumbangan kali ini.

"Program agihan sumbangan akan diteruskan kepada mereka yang terjejas akibat banjir di zon A sekitar Air Putih pula," katanya.