• 11 Dis 2023 | 28 Jamadil Awal 1445

Agong Lantik Muhyiddin Sebagai Perdana Menteri Caretaker

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Istana Negara hari ini mengumumkan Tan Sri  Muhyiddin Yassin akan kekal sebagai 'caretaker' sehingga perdana menteri baru dilantik, selain menolak kemungkinan untuk mengadakan pilihan raya umum.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah berkenan dengan pelantikan itu selepas menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin tengah hari tadi.

“Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan akan tetap berpegang pada prinsip sebagai Perdana Menteri Caretaker.

"Peranan saya ketika ini berbeza dengan jawatan sebelum ini dan mempunyai keterbatasan kuasa.

"Saya tak fikir kuasa kedudukan saya membolehkan saya membuat sesuatu, saya berpegang kepada prinsip yang saya hanya buat apa yang harus buat, ikut nasihat Peguam Negara dan Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Perutusan Khas, di sini pada Isnin.