• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Agong Seru Rakyat Terus Bertenang

KUALA LUMPUR, 23 November - Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri' Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat dan semua pihak untuk terus beristiqamah dan bertenang sehingga proses untuk membentuk kerajaan baharu selesai.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato' Seri Ahmad Fadil Shamsudin menerusi kenyataan media Istana Negara pada hari ini, menyatakan Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan kesejahteraan negara yang tercinta ini.

"Rakyat telah pun membuat keputusan untuk memilih wakil mereka, maka terserah kepada wakil rakyat untuk mencari penyelesaian bagi mengurai kemelut yang membelenggu rakyat jelata,"ujar kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu, susulan daripada sesi menghadap oleh ketua-ketua gabungan, Seri paduka Baginda telah menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada esok.

"Perbincangan khas Raja-Raja Melayu ini adalah bertujuan untuk Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bagi Baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat,"ujar kenyataan media Istana Negara itu.