• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Agong Tidak Terima Senarai Nama Ahli Parlimen Sokong Anwar

 
KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak menerima senarai ahli-ahli Parlimen yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis menghadap di Istana Negara padi tadi.

Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, susulan itu Yang di-Pertuan Agong telah memberi nasihat kepada Anwar supaya akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

"Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, menyentuh tentang penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Yang Dipertuan Agong melahirkan rasa kegusaran dan menasihati seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan berdisplin dalam menjaga kesihatan diri.


Tag: