• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Ahli Majlis Bantu Laksana Agenda Kerajaan

Oleh Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU,  20 Jun - Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berperanan membantu menjayakan agenda kerajaan  sehingga segala rancangan dilaksanakan dengan jayanya. 

Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu, Ariffin Abdullah berkata, ahli majlis juga perlu memahami tugas masing-masing supaya objektif yang mahu dicapai MBKT berjaya dilaksanakan.  

"Selaku pentadbir tanah saya boleh memberi pandangan mengenai isu berkait undang-undang tanah supaya ia dapat dipatuhi dalam pelaksanaan agenda kerajaan berkait dengan tanah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah dan Penerimaan Watikah Perlantikan Ahli Majlis MBKT di Menara Permint di sini hari ini. 

Seramai 23 ahli majlis mengangkat sumpah di hadapan Datuk Bandar Rosli Latif di majlis tersebut. 

Sementara itu Che Sulaiman Ismail berkata,  beliau sebagai Ketua Whip berperanan sebagai perantara  ahli majlis dengan pegawai dan kakitangan kerajaan serta jabatan berkenaan bagi menyelesaikan perkara berkaitan kerajaan dan orang awam. 

"Kita (ahli majlis)  akan mengadakan perjumpaan dengan Datuk Bandar bagi memahami visi, misi dan objektif MBKT supaya kita dapat memainkan peranan sebagai ahli majlis sebaik mungkin. 

"Kita juga akan mengadakan perjumpaan dengan Exco Kesihatan,  Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak untuk mengetahui dasar kerajaan tempatan tidak lama lagi, " ujarnya.