Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
Ahli Parlimen Kuala Nerus Sumbang Kelengkapan COVID-19 Sempena Pembukaan Sekolah
KUALA NERUS, 3 Mac - Dalam memastikan hari persekolahan terutamanya pada hari pertama berjalan lancar tanpa mencetuskan bimbang penularan COVID-19, pihak Ahli Parlimen Kuala Nerus mengambil inisiatif berterusan dengan memberikan sumbangan kelengkapan cegah COVID-19 di sekolah sekitar Kuala Nerus.
Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin berkata, antara sekolah yang disantuni pihaknya adalah di Sekolah Kebangsaan LKTP Belara di mana kelengkapan kesihatan seperti pelitup muka dan 'sanitizer' telah diagihkan buat kakitangan sekolah dan murid-murid.
"Ini adalah satu usaha Dr. Khairuddin untuk memastikan murid-murid dan guru sekolah terhindar dari jangkitan Covid-19 yang sebelum ini telah mengakibatkan pembukaan sekolah tertunda.
"Bagi hari pertama ini, ibu bapa merupakan insan yang sudah lama dan tidak sabar menunggu hari pembukaan sekolah yang dijadualkan bermula pada hari ini.
"Rata-rata ibu bapa meluahkan rasa puas hati dan berterima kasih apabila melihat anak-anak mereka disambut dengan baik walaupun dalam keadaan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya dalam satu lawatan di SK LKTP Belara, kelmarin.
Guru besar sekolah tersebut, Zaid Yusof turut menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kehadiran murid yang memberangsangkan walaupun hari pertama persekolahan.
"Sekolah kami merupakan sekolah yang terletak di kawasan pedalaman dan sudah tentu prestasi kehadiran anak-anak ke sekolah adalah respon positif pada kami," jelasnya.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, lebih lima juta pelajar mula kembali ke sekolah secara berperingkat dengan murid prasekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua sekolah rendah memulakan sesi persekolahan pada 1 Mac manakala murid Tahun Tiga, Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam sekolah rendah akan dibuka sepenuhnya pada 8 Mac ini.