• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Ahmad Amzad Ikrar Terus Perkasa MOSTI

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim dikekalkan sebagai Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi(MOSTI), dalam pembentukan kabinet baru yang diumumkan  Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Ahmad Amzad yang dilantik semula dalam Kabinet  berkata beliau akan memberikan khidmat terbaik dalam menunaikan amanah itu.

"Seperti disebut oleh Perdana Menteri, Covid-19 dijangka akan terus ada dalam kehidupan kita sebagai Endemik. 

"Kerana itu kita kena terus pacu penggunaan 'lowtouch technology' yang mengurangkan sentuhan dan interaksi fizikal dalam sektor sosial dan pekerjaan yang akan terus diberi tumpuan oleh MOSTI.

"Ini termasuk beberapa 'roadmap' yang sedang dibangunkan dibawah seliaan saya antaranya Roadmap For Advanced Material seperti composite, graphene, nanotechnology yang perlu dimuktamadkan,"ujarnya ketika dihubungi pemberita.

Tambah Ahmad Amzad lagi, beliau berharap supaya Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2020-2030 dapat diperkasakan dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia negara berpendapatan dan berteknologi tinggi melalui penggunapakaian (adoption) dan penghasilan lebih banyak inovasi teknologi tempatan.

Terdahulu, barisan Kabinet yang diumum hari ini juga memperlihatkan banyak muka lama masih dikekalkan dengan 31 menteri dan 33 timbalan menteri.

Barisan Kabinet baru ini dijadual akan mengangkat sumpah jawatan pada Isnin depan.

Ismail ketika mengumumkan senarai berkenaan berkata, tugas utama kabinet yang dibentuk hari ini adalah untuk menangani Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.