• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ahmad Amzad Menang Dengan Majoriti Lebih Besar

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos- Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN)- PAS, Dato' Ahmad Amzad Hashim menang dengan majoriti lebih besar sekali gus mengekalkan kemenangannya di kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ahmad Amzad menang dengan majoriti 47,266 undi.

Beliau memperoleh 68,369 undi menewaskan pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Azan Ismail yang memperoleh 21,103 undi. 

Majoriti yang diperolehnya kali ini lebih tinggi daripada 40,907 yang diperolehnya pada PRU15. 

Proses penjumlahan undi Parlimen Kuala Terengganu telah diadakan di Wisma Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Seramai 122,160 pengundi terlibat dalam proses pengundian di PRK Parlimen Kuala Terengganu melalui 41 pusat mengundi yang mengandungi 217 saluran.

Terdahulu, PRK Kuala Terengganu terpaksa diadakan semula setelah Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad kerana didakwa terdapat unsur rasuah ketika tempoh kempen bagi Parlimen tersebut pada PRU15 yang lalu.

Ketika itu, Ahmad Amzad berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi pada PRU14. 

Beliau mendapat 63,016 undi, mengetepikan tiga lagi pencabarnya iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 10,946 undi; Datuk Mohd Zubir Embong daripada Barisan Nasional (BN) dengan 22,109 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi).