• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ahmad Said Akui Kerajaan Terengganu Tunai Janji

KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said mengakui kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan PAS berjaya melunaskan manifesto PRU14.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu berkata, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri sudah mengagihkan banyak tanah kepada rakyat negeri itu.

“Saya akui (manifesto) yang berjaya (adalah) bagi tanah, sebab bagi tanah tak keluar modal,” ujar beliau dalam program Wacana Sinar yang disiarkan secara langsung, melalui platform media sosial semalam.

Dalam program yang sama, memetik sumber Jabatan Penerangan PAS Negeri Terengganu (JPENT), Ahmad Said turut akur usaha parti itu melaksanakan beberapa perkara lain.

Namun, beliau mempersoalkan janji PAS untuk menyedikan 20,000 peluang pekerjaan dan membina 20,000 unit rumah tetapi tiada satu pun dibina untuk rakyat sepanjang satu penggal.

Mengenai isu peluang pekerjaan, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman sudah memberikan penjelasan konkrit pada tahun lalu.
 
"Berdasarkan data Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) yang dikongsikan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan PERKESO, sebanyak 10,122 penempatan pekerjaan telah dibuat di negeri ini pada 2019.

"Kemudian, pada 2020 sekitar 3,487 kerja kosong diwujudkan dan 8,368 sehingga Oktober 2021, menjadikan jumlahnya sebanyak 21,977 pekerjaan," jelas Nurkhuzaini dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, menjawab isu pembinaan rumah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim mengajak Ahmad Said untuk melihat sendiri projek RMM Tempinis Sejahtera yang telah dibina dan disiapkan kerajaan negeri.

“Ahmad Said jemput datang ke Jabi ni, rumah 100 buah dah siap di Tempinis, rumah di Benting Lintang pun hampir siap, marilah ke Jabi ni,” ujarnya.


Tag: