• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Ahmad Samsuri Rai Asnaf, Pelajar dan Warga Dungun

DUNGUN, 6 April - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meraikan golongan asnaf, pelajar dan penduduk di daerah ini dalam siri jelajah Prihatin Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama MB Terengganu di Masjid As-Salikin, Sungai Udang, Sura semalam.

Prihatin Ramadan di Dungun semalam menjadi aturan jelajah bagi daerah ketiga selepas Marang dan Kuala Nerus beberapa hari lepas.

Lebih seribu orang penduduk sekitar Sungai Udang hadir bagi memeriahkan program tersebut termasuklah jemputan bagi pelajar pondok dan institusi pengajian tinggi dalam kawasan tersebut.

Turut mengiringi Menteri Besar adalah isterinya, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi parlimen Dungun, ADUN Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri; Sura, Wan Hapandi Wan Nik; Rantau Abang, Alias Harun serta Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Wan Ramli.

Dalam masa yang sama, 15 asnaf daripada Kampung Bijangga diraikan apabila terpilih bagi menerima sumbangan sempena Prihatin Ramadan Dungun.

Prihatin Ramadan Bersama MB Terengganu akan diteruskan ke lima lagi daerah bermula Kemaman pada 11 April dan ditamatkan di Setiu pada 16 April.

Program ini menjadi aktiviti jelajah Ahmad Samsuri ke semua daerah yang dicetuskan sendiri oleh beliau dalam usaha menyantuni rakyat Terengganu sepanjang Ramadan.

 


Tag: