• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Ahmad Samsuri Tak Kecil Hati Dilabel Haprak

KEMAMAN, 23 Disember - Menteri Besar Terengganu tidak berkecil hati dan tergugat dengan serangan bertali arus tentera siber parti musuh yang melabel dirinya haprak, tidak berguna serta lemah dalam pentadbiran.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau langsung tidak kisah dengan apa jua yang didakwa kelompok berkenaan kerana rakyat menilai sebaliknya.

"Dari satu segi saya teruja juga dengan dakwaan seumpama ini yang datang daripada 'cybertrooper' sebab kita boleh buat analisa dan mengetahui punca sebenar timbulnya perkara seperti ini 

"Tetapi kalau saya boleh sebut ialah, kalau beginilah keadaan seorang Menteri Besar yang lemah sangat, beruntunglah Perikatan Nasional dan juga PAS mempunyai MB yang haprak tetapi (diberi kekuatan) boleh mentadbir negeri sehingga menempa sokongan rakyat," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Taklimat Pengurusan Bencana di Pejabat Daerah Kemaman, hari ini.

Justeru katanya, rakyat sewajarnya melihat dan terus memberi kepercayaan serta keyakinan kepada Perikatan Nasional untuk terus membawa kebajikan kepada rakyat di negeri ini.

"Lebih-lebih lagi kalau Terengganu ini mempunyai Menteri Besar atau Perdana Menteri yang tidak haprak daripada Perikatan Nasional sudah tentulah akan lebih baik.

"Haprak pun begini baik, kalau tidak haprak itu saya rasa akan tersangat baik, jadi saya rasa tidak ada sebab kenapa rakyat tidak boleh membuat keputusan untuk terus memilih dan meletakkan keyakinan serta kepercayaan kepada PN dan juga PAS untuk terus mentadbir kerajaan negeri serta negara," ujarnya lagi.