• 29 Nov 2021 | 23 Rabiul Akhir 1443

#Aid4Palestine : Terengganu Berjaya Kutip RM1.2 Juta Dalam Tiga Hari

KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Kutipan Tabung #Aid4Palestine di Terengganu sudah mencecah RM1.2 juta walaupun baru tiga hari dilancarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sumbangan pelbagai pihak termasuk pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan orang perseorangan berjaya melepasi sasaran awal.

"Alhamdulillah sehingga jam 6 petang ini (Isnin) kutipan tabung untuk membantu saudara Islam kita di Palestin telah mencapai dan melebihi sasaran dengan kutipan sebanyak RM1.2 juta. 

"Kita masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan bagi fasa pertama kutipan yang akan dikumpul sehingga 30 Mei depan," katanya kepada media hari ini.

Menurut Mohd Nor, beliau teruja apabila usaha itu mendapat sambutan dan sokongan memberangsangkan daripada pelbagai pihak. 

"Sambutan oleh masyarakat negeri amat membanggakan. Syabas kerana rakyat Terengganu amat prihatin dan menunjukkan solidariti tinggi terhadap musibah yang menimpa rakyat Palestin," katanya. 

Pada 14 Mei lalu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Exco Kerajaan Negeri telah mengumumkan untuk menyumbang sebulan gaji ke Tabung #Aid4Palestine.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS pula menyumbang RM3,000 seorang sebagai komitmen membantu umat Islam di Palestin yang diserang tentera Zionis.


Tag: