• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Aidilfitri : Hanya 10 Peratus Anggota, Pegawai Polis Dibenarkan Cuti

MARANG, 25 April - Hanya 10 peratus daripada 3,200 anggota dan pegawai polis di Terengganu dibenarkan bercuti sempena sambutan Aidilfitiri, tidak lama lagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, mereka dibenarkan untuk cuti secara bergilir pada satu-satu masa, jadi terpulang kepada kebijaksanaan ketua jabatan dan ketua polis daerah masing-masing untuk mengatur penugasan.

“Manakala kekuatan selebihnya akan berada dalam mod bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuti panjang menyambut perayaan.

“Anggota dan pegawai polis  yang bertugasmemberikan tumpuan terhadap penugasan sepanjang sambutan berkenaan termasuk rondaan cegah jenayah dan kawalan aliran trafik,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Inspirasi Qaseh Ramadan/Raya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini malam tadi.

Tambah Rohaimi lagi, pihaknya juga telah mengenalpasti dan akan menjalankan rondaan dan pemantauan di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan ramai khususnya di malam raya.

Dalam masa yang sama , beliau turut  menasihatkan  orang ramai yang mahu meninggalkan kediaman untuk meraikan Aidilfitri memaklumkan ke balai polis berhampiran dengan mengisi borang balik kampung bagi memudahkan pihaknya melakukan pemantauan dan rondaan.