• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

MARANG, 3 Disember - Hujan berterusan dan air pasang besar bermula semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air dengan cepat.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, banjir besar ini berlaku hanya dalam masa beberapa jam.

Malah katanya, kejadian seperti ini belum pernah berlaku dalam tempoh 20 tahun seperti yang dimaklumkan oleh seorang penduduk terjejas yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Ada di kalangan mereka di sini (PPS) bersama-sama anak kecil, bayi yang baru berusia beberapa bulan, dan ada juga kanak-kanak yang baru sahaja berkhatan.

"Walau bagaimanapun kita mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pihak jabatan dan agensi yang terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam, RELA, dan Polis Diraja Malaysia dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin.

"Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada 'Tentera Merah' iaitu Jabatan Amal yang turun serta merta membantu urusan perpindahan walaupun tidak dibayar sebarang imbuhan atau gaji," katanya.

Beliau berkata setelah hadir menziarahi mangsa banjir di PPS bersama-sama Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria, dan Ketua Lajnah Penerangan Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Najmuddin Rani.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerja-kerja membantu mangsa banjir akan terus dilakukan sehingga keadaan kembali normal.

"Pihak PKM bersama-sama Jabatan Amal Marang dan MPKK telah turun ke beberapa lokasi yang terjejas teruk untuk membantu urusan perpindahan, mengangkat barang dan membersihkan rumah.

"Kerja-kerja membantu telah dilakukan serta merta pada jam 8.30 malam, di antara lokasi awal adalah mangsa banjir kilat di Taman Bukit Indah.

"Hampir jam 12 malam, seorang wanita warga emas yang menghidap penyakit lumpuh juga turut dipindahkan segera ke PPS setelah ianya dibuka di Rusila dengan bantuan Jabatan Amal Marang dan penduduk setempat," ujar beliau.

Untuk rekod, empat PPS dibuka di daerah ini kepada mangsa banjir yang terjejas ekoran daripada hujan lebat dan air pasang yang bermula semalam.

Seramai 372 mangsa yang terdiri daripada 98 keluarga telah ditempatkan di empat buah PPS ini iaitu Sekolah Kebangsaan Rusila, Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing, Sekolah Kebangsaan Marang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong setakat dikemaskini pada jam 6.07 petang.

Jumlah terkini merekodkan bilangan mangsa tertinggi di Marang dari seluruh negeri Terengganu bermula semalam di mana tiga PPS yang dibuka adalah di dalam kawasan DUN Rhu Rendang dan satu di Bukit Payong.

 

 

 


Tag: