• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Air Pasang Besar, 20 Lokasi Di Terengganu Berisiko Banjir

KUALA NERUS, 6 November - Lebih 20 lokasi di tujuh daerah telah dikenalpasti berisiko banjir, susulan fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal bulan ini sehingga hujung Disember.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS), air pasang besar dijangka bermula 5 hingga 13 November dan untuk kali kedua akan bermula 19 November hingga 28 Disember, dengan kadar ketinggian ombak dijangka pada 2.4 meter (m) sehingga 2.9 m.

Katanya, fenomena itu boleh mengakibatkan banjir sekiranya air pasang besar berlaku bersama dengan hujan lebat berterusan.

"Antara kawasan yang berisiko adalah Kampung Kuala Ibai di Kuala Terengganu; Kuala Besut dan Kampung Pengkalan Atap di Besut; Kampung Seberang Pintasan di Dungun; Kampung Baru Kemasik di Kemaman; dan Rusila di Marang.

"Jadi APM bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa melaksanakan pemantauan secara berkala, bagi memastikan semua penduduk di kawasan sekitar yang berisiko itu sentiasa berada dalam keadaan selamat," katanya ketika meninjau fenomena air pasang besar di Pantai Seberang Takir, di sini, malam tadi.

Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan dan tidak ke pantai di sini untuk menyaksikan fenomena air pasang besar.

"Untuk itu, orang ramai tidak disaran menghampiri pantai bagi tujuan merakam gambar dan sebagainya," ujarnya.