• 25 Mei 2024 | 17 Zulkaedah 1445

Air Pasang Besar : 37 Kampung Berisiko Banjir

KUALA TERENGGANU, 28 Februari- 37 kampung yang terletak berhampiran 11 muara sungai utama di Terengganu di sini berisiko banjir berikutan fenomena air pasang besar mulai malam ini hingga 5 Mac (Sabtu) ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu Osman Abdullah berkata justeru itu, penduduk di sekitar lokasi terbabit dinasihatkan supaya berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, berdasarkan data Pusat Ramalan dan Amaran Banjir, fenomena itu diramal berlaku antara 5.30 petang hingga 11 malam.

"Ketinggian ombak dijangka boleh mencecah antara 2.2 meter (m) hingga 2.6m di Kuala Terengganu dan 2.8m hingga 3.2 di Kemaman.

"Justeru, penduduk di 37 kampung ini perlu bersedia dengan risiko banjir kesan pertembungan air dari hulu sungai dan air laut pasang," katanya kepada pemberita hari ini.

Di Muara Sungai Besut, lokasi yang terlibat ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail, manakala di Muara Sungai Setiu melibatkan Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri.

Di Muara Sungai Terengganu, kampung terlibat ialah Kampung Seberang Takir, Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Pulau Rusa, manakala di Muara Sungai Merang kampung berisiko ialah Kampung Telaga Papan. 

Beliau berkata di Muara Sungai Ibai pula, lokasi berisiko ialah Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama, manakala di Muara Sungai Merchang ialah Kampung Merchang.

"Di Muara Sungai Paka, terdapat empat kampung iaitu Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau manakala di Muara Sungai Kemasik ialah Kampung Baru Kemasik.

"Di Muara Sungai Kemaman pula ialah Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi.

Di Muara Sungai Dungun pula ialah Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alur Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang serta Kampung Sura di Muara Sungai Sura," katanya.

Dalam pada itu, penduduk di enam kampung yang berada di lembangan Sungai Terengganu iaitu Kampung Losong, Kampung Pulau Kambing, Kampung Paloh, Kampung Teluk Pasu, Kampung Sungai Rengas dan Kampung Kubang Tangga turut perlu berhati-hati.