• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Air Pasang Besar: 37 Kampung Di Terengganu Berdepan Risiko Banjir

KUALA TERENGGANU, 30 November - Penduduk  37 kampung di Terengganu dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar berserta hujan lebat yang berterusan.

Timbalan Pengerusi Jawatan­kuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, kejadian berkenaan yang diramalkan bermula Jumaat ini dijangka berterusan selama 10 hari hingga 12 Disember ini.

Katanya, ia berda­sarkan jadual pasang surut air yang dikeluarkan Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS).

"Bagi daerah Besut, lokasi yang dikesan ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail manakala di Setiu melibatkan Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri dan Kampung Telaga Papan.

“Di Kuala Nerus pula membabitkan Kampung Seberang Takir, Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Pulau Rusa diikuti Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama di Kuala Terengganu serta Kampung Merchang (Marang).

“Bagi daerah Dungun, terdapat 13 kawasan yang terjejas ia­itu Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau, Kampung Sura, Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alur Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang,” katanya kepada pemberita.

Tambah Hanafiah, di Kema­man, kejadian air laut pasang tinggi turut dikesan di Kampung Baru Kemasik, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi.

Justeru itu beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan sungai dan pantai juga supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan semasa.

Hanafiah turut mengingat orang ramai supaya tidak berkunjung ke pantai untuk menyaksikan fenomena air pasang demi keselamatan mereka.

"Kita tidak mahu peristiwa menyayat hati kehilangan ahli keluarga akibat fenomena air pasang besar atau ombak besar berulang,” katanya