• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Air Percuma Diperluas Kepada Seluruh Rakyat Sempena Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Kerajaan negeri bersetuju untuk memperluaskan pemberian air percuma kepada seluruh rakyat Terengganu sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar berkata, air percuma sebanyak 20 meter padu pertama itu melibatkan perbelanjaan berjumlah hampir RM570,000 untuk tempoh selama sebulan bermula 1 Mei hingga 31 Mei 2021.

"Ia bagi membantu rakyat negeri ini menghadapi suasana hari raya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta dalam situasi pandemik COVID-19.

"Pemberian air percuma ini akan memberi manfaat kepada lebih 1.33 juta rakyat," katanya melalui Facebook rasminya, sebentar tadi.

Menurut beliau, sebelum ini, Kerajaan Negeri telah pun memberikan bekalan air percuma 20 meter padu kepada penerima bantuan eKasih, Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sejak 2019.

"Inisiatif ini diharapkan dapat meringankan impak keadaan ekonomi akibat wabak COVID-19 yang melanda dan sebagai tanda simpati serta prihatin kerajaan terutama di musim perayaan tahun ini," jelasnya.