• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Air Percuma Dua Bulan Selepas Krisis Berakhir

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma selama dua bulan kepada seluruh pengguna di daerah ini dan Kuala Nerus yang terjejas sebaik proses membaik pulih bekalan selesai.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif itu diambil sebagai menghargai kesabaran orang ramai semasa krisis air berlaku.

"Kerajaan negeri amat memahami kesulitan rakyat menghadapi krisis air yang sedang berlaku di daerah Kuala Nerus dan beberapa kawasan Kuala Terengganu akibat paip air yang pecah di dasar Sungai Terengganu.

"Sebagai menghargai kesabaran penduduk yang terjejas, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua akaun terlibat selama dua bulan setelah baik pulih selesai," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sepanjang tempoh krisis, kerajaan negeri sedang menguruskan bekalan air minuman bersih kepada semua penduduk yang terjejas.

Sehingga kini katanya, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) masih berterusan melakukan kerja pembaikan paip di dasar sungai.

"Di kesempatan ini, kerajaan negeri ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban rakyat, termasuk semua syarikat bekalan air seluruh negara, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta pihak persendirian.

"Bersama kita doakan agar kerja pembaikan berjalan mengikut jadual sekali gus dapat menamatkan segera krisis air ini," tambah beliau.


Tag: