• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Air Percuma Tetap Diberi, Pelarasan Bil Teknikal Biasa

KUALA TERENGGANU, 22 September - Pemberian air percuma selama dua bulan kepada pengguna terjejas bekalan di Kuala Nerus serta sebahagian daerah ini tetap akan dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, pelarasan bil yang dilakukan Syarikat Air Terengganu (SATU) pada waktu ini pula hanyalah sementara.

Katanya, kaedah itu terpaksa dilakukan kerana sewaktu insiden Air Berangan pertama dan kedua, pekerja SATU tidak dapat bertugas membaca meter air.

“Ini kerana mereka menumpukan tenaga dalam pengagihan air, oleh itu, antara penyelesaian SATU ialah mereka melihat kepada bulan sebelumnya dan buat anggaran.

“Contohnya, jika purata bil bulan-bulan sebelum ini RM20 sebulan, jadi kita ambil itu sebagai rujukan kemudian untuk membuat pelarasan atau rebat atau itu adalah bayaran semasa tempoh petugas tidak bertugas membaca meter.

“Seterusnya, apabila staf akan mula bertugas membaca meter dan mendapati penggunaan air RM3, jadi kita tolak dengan rujukan pertama atau bayaran RM20 tadi, menjadikan ada lagi baki RM17, RM17 itu pula akan dibawa ke bil-bil hadapan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Dalam pada itu, menurut Dr Mamad, tempoh dan kaedah pemberian air percuma akan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Perbincangan dan keputusan bagi pelaksanaan terbaik bantuan bil air percuma ini telah dijalankan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pagi tadi,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma selama dua bulan kepada seluruh pengguna di dua daerah yang terjejas sebaik proses membaik pulih bekalan selesai sepenuhnya, namun tarikh pelaksanaannya belum diputuskan.

Untuk rekod, bekalan air berjaya dipulihkan secara berperingkat mulai 9 September lalu.