• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

KEMAMAN, 28 Februari - Hujan lebat yang berlanjutan sejak beberapa hari lalu telah mengakibat banjir di Kemaman khususnya kawasan Air Putih.

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Kampung Air Putih dan Kampung Teladas dimana hampir 80 peratus kawasan ini lumpuh dilanda banjir.  

Selain Kampung Air Putih dan Teladas, kawasan lain seperti Kampung Bukit Mentok, Kampung Pasir Minal, Kampung Felda Seberang Tayur, Kampung Seberang Tayur Hulu, Kampung Seberang Tayur Hilir, Dadong, Pasir Gajah, Paman, dan Felda Cerul turut dinaiki air. 

Mangsa yang terlibat telah selamat dipindahkan ke pusat perpindahan sementara (PPS) berhampiran oleh anggota keselamatan dan sukarelawan setempat.

Terkini, penduduk di Bandar Baru Bukit Mentok 1 dan 2 serta Kampung Tempurung turut diminta berpindah ke PPS  SK Sri Iman memandangkan paras air yang kian meningkat.

Dilaporkan sebanyak 22 buah PPS di buka di seluruh daerah Kemaman yang mana melibatkan seramai 3,026 orang mangsa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Ab Razak Ibrahim meminta semua penduduk di Kemaman untuk bersiap siaga menghadapi bencana banjir yang dijangka akan turut melanda di kawasan-kawasan lain.

“Setiap pihak perlu memainkan peranan dan cakna akan situasi air di kawasan berhampiran. Persiapan seperti menyimpan barangan berharga di tempat yang selamat dan tinggi perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku” ujar beliau kepada pemberita.

Katanya, masing-masing perlu rujuk dengan ketua kampung atau lebih dikenali dengan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum, semasa dan selepas kejadian berlaku.

"Bagi kawasan yang beriksiko, penduduk dinasihatkan untuk berpindah pada waktu siang memandangkan pergerakan dan penglihatan agak terbatas di waktu malam.

"Anggota keselamatan seperti Jabatan Amal Malaysia kawasan Kemaman, PDRM dan ATM akan terus memantau dan melakukan misi menyelamatkan mangsa banjir," ujarnya.


Tag: