lightning-solid
Berita :
Air Terjun Menderu  Dinaik Taraf Menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027
Air Terjun Menderu Dinaik Taraf Menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
2 jam yang lepas
89

KEMAMAN, 12 Ogos – Air Terjun Menderu, Kerteh mendapat perhatian kerajaan negeri untuk dinaik taraf sebagai destinasi ekopelancongan berpotensi, khususnya dalam persediaan menghadapi Tahun Melawat Terengganu 2027. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, penambahbaikan perlu meliputi aspek kemudahan asas, keselamatan, aksesibiliti dan kebersihan tanpa menjejaskan kelestarian Hutan Simpan Rasau Kerteh.

“Insya-Allah, Air Terjun Menderu ini akan dicadangkan sebagai salah satu lokasi Community-Based Tourism (CBT), dengan penglibatan komuniti setempat dalam pembangunan dan pengurusan produk pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri lawatan ke tapak Air Terjun Menderu, hari ini.

Turut hadir ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman, Jabatan Perhutanan Daerah Kemaman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan agensi berkaitan.

Lawatan berkenaan diadakan bagi meninjau potensi serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan Air Terjun Menderu sebagai produk ekopelancongan negeri.

“Dengan adanya kebun buah-buahan seperti durian, cempedak dan duku serta kemudahan chalet di sekitar kawasan ini, kesemuanya boleh dipakejkan bersama sebagai satu produk ekopelancongan yang lebih menarik kepada pengunjung,” katanya.

Usaha ini selari dengan aspirasi Tahun Melawat Terengganu 2027 untuk memperkukuh produk pelancongan berasaskan alam semula jadi serta mengetengahkan keunikan negeri melalui pendekatan ‘Truly Terengganu’, sekali gus memberi pengalaman pelancongan yang lebih berkualiti kepada pengunjung dan membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.


Tag :

Artikel Berkaitan