• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ajal Selepas Pulang Bermain Badminton


DUNGUN -Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang selepas bermain badminton ditemui mati berhampiran kediamannya di Kampung Nyior, Bandar Paka, malam tadi (27 Ogos).

Juriza Muda, 36, yang bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat penyelenggaraan industri pemprosesan minyak di Kawasan Perindustrian Kerteh, Kemaman, ditemui terbaring di atas tanah bersebelahan kereta Proton Wira miliknya pada pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut dan ketika kejadian, lelaki terbabit dalam perjalanan pulang ke kediamannya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Juriza Muda
Menurut Baharudin, mayatnya ditemui oleh dua orang anggota polis dari Balai Polis Paka yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kampung tersebut .dan ketika tiba di lokasi kejadian, anggota tersebut melihat kereta yang dipandu mangsa berada di dalam keadaan yang mencurigakan.

"Melihat keadaan tersebut, anggota terbabit pergi ke arah kereta yang lampu dan pintunya terbuka kerana mengesyaki kemungkinan ada berlaku aktiviti mencuri di kawasan rumah yang dalam proses pembinaan,

"Anggota terbabit kemudiannya menghampiri kereta tersebut  dan melihat satu jasad yang  terbaring di atas tanah bersebelahan sebuah pagar rumah yang dalam proses pembinaan tidak jauh dari kediamannya," katanya.

Anggota penyiasat sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian 
Menurutnya , melihat keadaan tersebut, anggota terbabit kemudiannya melaporkan kepada pegawai balai polis yang bertugas bagi memaklumkan berkenaan penemuan mayat tersebut dan pada masa yang sama isteri mangsa turut keluar dari rumah untuk melihat penemuan mayat tersebut.

"Isterinya telah mengesahkan bahawa jasad yang terbaring itu adalah mayat suaminya dan menurutnya , suaminya itu tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan tidak menunjukkan sebarang tanda dia mempunyai penyakit.

"Sepasukan anggota perubatan dari Klinik Kesihatan Bandar Paka yang tiba tidak lama kemudian melakukan pemeriksaan terhadap mangsa dan mengesahkan mangsa sudah pun meninggal dunia," katanya.

Menurut Baharudin, pemeriksaan lanjut terhadap mayat lelaki tersebut  tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah dan mayatnya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.


Tag: