• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

AJK Masjid Perlu Pastikan Penceramah Ada Tauliah MAIDAM - Sultan Mizan

HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru Jawatankuasa Masjid memastikan penceramah dan penyampai kuliah yang diundang mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Baginda bertitah setiap program yang dilaksanakan haruslah selari dengan setiap arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh MAIDAM dan undang-undang yang berkuatkuasa, terutama hal-hal berkaitan dengan tauliah mengajar. 

"Peraturan yang dibuat bukan bermaksud untuk menyekat penyebaran ilmu di masjid dan surau tetapi ianya bagi memastikan setiap ilmu yang disampaikan bertepatan dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan kita umat Islam di negeri ini," Titah Baginda ketika menyempurnakan perasmian Masjid Kampung Pelandan, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama , Baginda berharap pihak Pengurusan Masjid juga mempunyai minda yang terbuka dan berfikiran kreatif bagi merangka dan melaksanakan pelbagai program yang boleh melahirkan ummah yang cemerlang.

"Usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program-program di masjid perlu diperkasakan agar ianya mendapat tempat di hati setiap lapisan masyarakat. 

"Kebolehan dan kepakaran para jemaah boleh digembeling bersama-sama jawatankuasa masjid untuk dimanfaatkan oleh anak kariah dan masyarakat setempat agar usaha ke arah mengoptimumkan fungsi
masjid berjaya direalisasikan,"  Titah Baginda.

Baginda bertitah, masjid  sebagai pangkalan pembangunan insan yang berpaksikan kepada akidah yang benar dalam membina masyarakat ke arah memiliki nilai-nilai hidup yang mulia.

"Justeru sistem pengajian masjid dilihat penting dalam usaha mendidik jiwa manusia menjadi insan cemerlang dan bertaqwa," Titah Baginda.

Baginda turut bertitah, masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan umat Islam dan menegakkan tamadun kehidupan Ummah.

Justeru itu, Pengurusan Masjid diingatkan untuk memainkan peranan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti atau program-program yang terbaik dengan nilai-nilai Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.