• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Akademi Robotik Pertama Di Terengganu, Lahir Generasi Al-Jazari

KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kewujudan Akademi Robotik TD1303 X Jazari Robot (JAZRO) pertama dalam negeri mampu menjadi platform pembelajaran teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan nilai kemahiran teknologi dan pembentukan sahsiah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, selaras dengan agenda kementeriannya, pelbagai peringkat daripada kanak-kanak sehingga golongan belia boleh memanfaatkan fasiliti dalam meningkatkan penguasaan teknologi.

“Kita tidak lagi boleh bergantung semata-mata penggunaan tenaga buruh upah, melalui pendidikan robotik produktiviti yang efisien dapat diwujudkan dalam pelbagai sektor.

“Ini dapat dilihat hasil pandemik COVID-19, menyebabkan Malaysia mempercepatkan penguasaan dan penggunaan teknologi sebegini dalam pelbagai sektor.

“Contohnya seperti Robot FARMO yang diperkenalkan dalam sektor pertanian digunakan untuk kerja penyemburan racun, baja dan memetik buah-buahan,” katanya ketika ditemubual pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri yang juga Pengerusi TD1303, Ariffin Deraman, Ketua Pengurus JAZRO Robotic Academy, Ir Dzulfarqeish Zainuddin.

Ketua Pengurusnya, Ir Dzulfarqeish memaklumkan, penyertaan program tersebut telah melibatkan antara 40 hingga 50 pelajar sebulan disertai pelajar berusia seawal lima tahun sehingga 17 tahun.

“JAZRO Robotic Academy komited untuk berkongsi kemahiran yang relevan dengan IR 4.0, seterusnya membolehkan warga muda di Terengganu tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global.

“Modul disediakan bukan sahaja menekankan kemahiran teknologi semata-mata, malahan menyelitkan elemen pembentukan sahsiah melalui modul al-Jazari berteraskan nilai-nilai murni Islam,” jelasnya.