• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

AKRAB Terengganu Bawa 100 Murid Beli Kelengkapan Sekolah

KUALA TERENGGANU, 31 Januari- Program ‘Back To School’ anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu diteruskan lagi dengan 100 murid daripada keluarga kurang berkemampuan sekitar daerah ini diberi peluang membeli-belah kelengkapan sekolah di Mydin Mall, Gong Badak.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, program tersebut merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) AKRAB SUK Terengganu dan turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, PUSPANITA Negeri Terengganu serta Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

 “Setiap murid yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun daripada 25 buah sekolah terpilih diberikan wang tunai RM300 bagi membeli kelengkapan sekolah di pasaraya Mydin dengan dibantu ibu bapa angkat yang terdiri daripada ahli AKRAB SUK Terengganu, PUSPANITA dan juga pihak Maidam.

“Tujuannya adalah untuk meringankan beban keluarga anak-anak ini disamping meraikan silaturrahim di antara pelajar dan ibu bapa angkat dalam suasana santai,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut, di Dewan teater, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Anuar Awang; Yang Dipertua Majlis Daerah Marang merangkap Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.

Hadir sama, Pengerusi PUSPANITA Negeri Terengganu, To’ Puan Nor Zaini Abd Latiff.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Maidam yang telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi menjayakan program tersebut.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Maidam yang sentiasa membantu kita menjayakan program tahunan ini.

Katanya, menerusi program tersebut juga membuka peluang kepada para peserta untuk mendekatkan diri dengan komuniti luar dan dalam masa yang sama melatih diri untuk sentiasa membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Program ‘Back To School’ yang bertemakan “Kami Ada” ini juga diharapkan memberikan semangat dan keceriaan kepada anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi dengan memakai pakaian seragam dan kelengkapan alat tulis baharu,” ujarnya.