• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Pemain tengah bertahan yang pernah menjadi kemudi utama pasukan kebangsaan, Akram Mahinan kini secara rasminya diumumkan sebagai pemain Terengganu FC bagi musim 2024/2025.

Melalui kenyataan dikeluarkan Terengganu FC Sdn Bhd hari ini, pemain kelahiran Kedah itu menandatangani kontrak untuk bersama 'Sang Penyu' bagi tempoh selama satu musim. 

Akram merupakan antara pemain yang memiliki kekuatan fizikal serta terkenal dengan aksi agresif dalam bertahan dan gaya permainannya mungkin dilihat dapat mengisi kekosongan bahagian tengah Terengganu FC selepas ketiadaan Habib Haroon.

Berusia 31 tahun, Akram pernah membantu pasukan terakhirnya iaitu Kuala Lumpur City FC, kembali ke saingan Liga Super pada tahun 2020, seterusnya berjaya membawa pasukan itu menjadi juara Piala Malaysia 2021.

Beliau juga menjadi nadi yang membawa pasukan tersebut mara ke pusingan akhir saingan Piala AFC 2022, serta menjadi naib juara Piala FA 2023.

Beliau yang akan menyarung jersi bernombor 14 bersama pasukan Terengganu FC pada musim ini memberi harapan untuk membantu pasukan baru ini mendapatkan kejayaan pada musim 2024/2025.

 


Tag: