• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Aktivis Kemanusiaan Dilantik Ahli Dewan Negara

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14 pada hari ini sebulat suara bersetuju melantik aktivis kemanusiaan yang juga Tokoh Maal Hijrah Terengganu 2020, Hussin Ismail sebagai Ahli Dewan Negara.

Pelantikan itu dicadangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas diumumkan Speaker DUN, Dato’ Yahaya Ali semasa persidangan berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata, pelantikan pengasas rangkaian sekolah tahfiz, Akademi Al-Quran Amalillah dan Pengerusi Tetap Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu berkuat kuasa pada Rabu bagi menggantikan Nuridah Salleh yang melepaskan jawatan.

“Presiden Yayasan Amal Malaysia itu mendapat pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu selama tiga tahun (1968-1970).

“Selepas itu beliau melanjutkan persekolahan ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Alam Shah, Cheras sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

“Beliau memulakan kerjaya awal sebagai guru sains di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, Hulu Terengganu, kemudian meneruskan kerjayanya dalam bidang korporat,” jelas Ahmad Samsuri.


Tag: