• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Akur Syarat Ditetapkan Arab Saudi Terhadap Jemaah Haji

MARANG, 21 Mei - Malaysia akur dengan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan bakal jemaah haji tidak melepasi syarat tak dibenarkan menunaikan rukun Islam kelima itu.

Antara syaratnya ialah hanya mereka yang berusia 65 tahun ke bawah sahaja dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam, tidak mempunyai penyakit kronik, memiliki sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputuan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menetapkan apa-apa syarat sebaliknya hanya mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh negara terbabit.

"Kita kena raikan padangan mereka tentang tentang kesihatan ini mungkin untuk mengelakkan berlakunya penularan Covid-19, dan keduanya kerana cuaca di sana agak panas, mereka tentu lebih tahu mengenai keadaan di sana kerana itu kita perlu mematuhinya.

"Setakat kini 1,000 jemaah telah menolak panggilan pertama disebakan masalah kesihatan dan selepas ini akan disusuli dengan panggilan seterusnya,"ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya, selepas merasmikan Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022 di Perkampungan Darul Barakah, di sini, pada hari ini. 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Menurut Idris, program Rehlah Till Jannah yang kali pertama diadakan itu telah dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama dengan Yayasan Islam Terengganu.

"Usaha berterusan ini dengan memberi mereka kefahaman agama akan mampu untuk mengembalikan mereka kepada fitrah asal,"ujarnya.

Antara pengisian program dijalankan selama tiga hari dua malam melibatkan 100 pelatih Perkampungan Darul Barakah ialah memberi pendedahan berkaitan Islam dan HIV, meningkatkan kesedaran beragama dalam kehidupan seharian bagi memantapkan rohani dan spiritual serta memberikan motivasi untuk meningkatkan jati diri untuk terus berjuang menghadapai cabaran dan dugaan mendatang.