• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Al-Quran Penawar Penyakit Sosial Masyarakat



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 6 Mei- Al-Quran adalah penawar yang paling mujarab bagi mengubati segala permasalahan sosial dalam masyarakat hari ini.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, al-Quran adalah panduan dan manual yang memandu manusia dalam segala perkara dan tiada dapat dinafikan bahawa masyarakat pada masa kini ditimpa pelbagai permasalahan kerana meninggalkan petunjuk al-Quran.

"Di dalam al-Quran terkandung pelbagai doa yang diajarkan oleh Rasulullah yang boleh diamalkan oleh pengamal perubatan untuk menyembuhkan peribadi yang bermasalah.

"Sebagaimana Negeri Terengganu dalam konsep mewujudkan pusat pemulihan dadah bersumberkan panduan al-Quran dan hadis," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi bagi meraikan sambutan hari lahir pekerja dan juga meraikan majlis perpisahan seorang kakitangan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan, semalam.


Menurut Wan Hasaan, tidak dapat tidak manusia harus disedarkan agar kembali kepada panduan al-Quran sebagai panduan yang paling relevan untuk mengubati pelbagai gejala sosial yang melanda umat pada hari ini.

Tambahnya, apa yang terjadi pada hari ini adalah al-Quran tidak berada di tempat yang sepatutnya dalam masyarakat dengan tidak mengamalkan apa yang terkandung dengan penuh kesungguhan, sedangkan kalam Allah SWT itu mengandungi pelbagai hikmah.

"Manusia akhir zaman ini bukan sekadar tidak menyakini al-Quran menjadi penyembuhan kepada setiap penyakit dunia moden pada hari ini, sebaliknya meninggalkan bacaan al-Quran sebagai sumber bacaan dan juga meninggalkan hukum hakam yang terkandung di dalamnya, "ujarnya.


Beliau turut menyeru agar umat Islam di seluruh Malaysia dan Terengganu khususnya kembali kepada al-Quran kerana segala rahsia kehidupan manusia terkandung dalam kitab panduan berkenaan, malah Allah lebih mengetahui segala rahsia ciptaan manusia.

Tag: