• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Alamanda Fun Run Program Untuk Wanita Sihat Dan Aktif

KUALA TERENGGANU, 21 Julai – Penganjuran Alamanda Fun Run untuk wanita negeri ini adalah bertujuan menjadikan golongan terbabit sihat, ceria, cergas dan aktif dalam pelbagai bidang sekali gus dapat memberi manfaat serta khidmat kepada pembinaan modal insan Terengganu.

Pengarah program Asma’ Abdullah berkata, acara larian khusus untuk kaum hawa itu julung kali diadakan di negeri Terenganu.

“Program seumpama ini adalah salah satu cara untuk memperkenalkan sukan patuh syariah untuk wanita Terengganu khususnya, bagi memastikan agenda yang dibawa ini dapat diterima baik oleh masyarakat.

“Selain itu, ia menjadi satu platform yang baik bagi memperkenalkan dan mengeratkan hubungan antara wanita-wanita Terengganu. Program yang pertama kali diadakan ini diharap dapat menarik lebih ramai golongan wanita menyertai program-program bermanfaat yang dianjurkan oleh kerajaan,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) Terengganu berkata demikian dalam kenyataan media semalam. 

Menurutnya, program ini dianjurkan bersama Urusetia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) beserta dengan rakan kerjasama Urusetia Wanita (USWa), ADUN Wanita Terengganu, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) , Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-Mits), NGO Setia dan NGO Nisa’. 

Beliau menambah, program Alamanda Fun Run ini akan berlangsung pada Sabtu, 23 Julai 2022, di Dataran Shahbandar bermula jam 7.30 pagi dan majlis perasmian akan disempurnakan oleh isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Abdul Rahman. 

“Manakala acara pelepasan oleh ADUN Wanita Terengganu, Zuraida MD Noor, yang bermula dari Dataran Shah Bandar juga akan berakhir di sana.

“Antara pengisian yang menarik dalam larian ini ialah, peserta terawal akan diberikan hadiah berupa medal dan semua peserta juga berpeluang untuk menerima cabutan bertuah,” ujar Asma’.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua wanita muda Terengganu untuk mendaftarkan diri dalam google form yang disediakan (https://forms.gle/x8SyhD6XdRHj8axK8) dan hadir beramai-ramai pada sabtu ini.

Katanya, 500 orang peserta terawal akan mendapat medal larian dan peserta bertuah bakal memenangi pelbagai hadiah menarik  antaranya mesin pengering baju, basikal dan gelang emas.

 


Tag: