• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Along 'Skuter' Terima Anugerah 'Unsung Hero' Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 September – Walaupun hanya membonceng sebuah skuter ia tidak menghalang Norizan Hashim membantu mereka yang memerlukan ketika negara berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19.

Pengorbanan anak kelahiran Kampung Binjai Bongkok, Marang tersebut telah menobatkan beliau sebagai penerima anugerah ‘Unsung Hero’ atau wira tidak didendang sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort di sini baru-baru ini. 

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim atas jasa dan baktinya kepada masyarakat.

Norizan atau lebih mesra disapa sebagai Along berkata, menolong mereka yang memerlukan adalah minatnya dan menjadikan pendakwah terkenal, Ebit Lew sebagai idola.

"Walaupun tidak sebesar jasanya (Ebit Lew), segala bentuk kemampuan akan digunakan demi mengurangkan beban golongan yang memerlukan.

"Saya bersama ahli kelab permotoran dan badan bukan kerajaan (NGO) lain aktif dalam kerja amal di daerah Marang sehingga ke Kelantan, Pahang dan juga Thailand (sebelum COVID-19) dengan menaiki skuter kepunyaan sendiri. Biasa kami bergerak menunggang secara berkumpulan memberi bantuan ke pelbagai lokasi dengan mematuhi operasi standard prosedur (SOP)," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Norizan.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan antara inisiatif lain yang diambil ialah mengetuai urus setia program Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) PRIHATIN mengagihkan barangan keperluan dapur kepada 1,000 belia di lapan daerah di Terengganu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, saya turut bekerjasama dengan kelab Amal Bukan Kerna Nama, NGO dan persatuan-persatuan belia dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, Majlis Belia Daerah Marang dan lain-lain lagi.

"Hasilnya kami telah menyumbang pelbagai barang keperluan asas kepada keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU), warga belia, warga emas dan sesiapa sahaja yang memerlukan.

"Kita jangan lokek dalam membantu orang, tiba giliran kita nanti, akan ada insan yang bantu kita juga," katanya.

 


Tag: