• 26 Sept 2021 | 18 Safar 1443

Amal Hidup Gaya Sihat, Dorong Ibadah Sempurna

MARANG, 12 Disember - Golongan belia sewajarnya perlu merebut peluang mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten dengan aktiviti bersukan, selain perlu menjaga kesihatan diri.

Langkah itu pastinya membantu seseorang itu berupaya menunaikan ibadah solat dengan sempurna dan khusyuk

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah berkata, pada masa sama, usaha itu mampu mencungkil bakat golongan muda yang sememangnya gemar bersukan

"Kita sebagai orang muda mesti 'gagah' semuanya, tidak hanya jaguh di gelanggang futsal sebaliknya gagah juga ke masjid dan surau untuk beribadah dan mendengar kuliah terutama sekali pada waktu subuh.

"Niatkanlah bersukan ini untuk menguatkan badan dan mencergaskan badan untuk beribadah kepadaNya, insya-Allah mendapat pahala," katanya ketika merasmikan Perlawanan Futsal Peringkat MPKK Kampung Tanjung Kedai Buloh di Padang Futsal Kampung Kubang Ikan, Chendering, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah Dan Penerangan Negeri turut berkata, program sebegini mampu menyemarakkan gaya hidup sihat di samping dapat menguatkan lagi ukhuwah di antara satu sama lain.

Tambahnya lagi, akal yang sihat datangnya daripada badan yang sihat. Gunakan masa muda sebelum masa tua.

"Al aqlu salim fil jismi salim. Akal yang cergas datangnya daripada badan yang sihat. Yang paling baik sekali ialah hati yang baik (qolbin salim). Datang menghadap Tuhan dengan hati yang sejahtera," jelasnya.

Turut hadir dalam perlawanan tersebut, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Mazlan Ibrahim dan para penyokong semua.


Tag: